MAIS Agih Bendera Jalur Gemilang, Sempena Program Ziarah Merdeka 2023 Di Tiga Lokasi Berbeza

Sempena sambutan bulan kemerdekaan ke 66, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) telah melancarkan program Serahan Bendera Jalur Gemilang & Ziarah Merdeka di mana MAIS telah mengagihkan sebanyak 3,000 bendera pelekat kenderaan dan 10 Jalur Gemilang kepada Jabatan-Jabatan Hal Ehwal Islam Selangor (JHEIS), agensi dan anak syarikat MAIS.

Kali ini Majlis Agama Islam Selangor telah menyantuni beberapa lokasi terpilih bagi yang mana pelancaran Program Ziarah Merdeka yang berkonvoi ini disempurnakan oleh Pengerusi MAIS, YAD Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz Bin Mohd Yusof.

mais
Bersama Pengerusi MAIS YAD Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz Bin Mohd Yusof.

Baca Juga: Lancar Kempen Bulan Kesedaran Faraid Harta. MAIS Semai Minat Ilmu Pengurusan Pusaka

Program Ziarah Merdeka MAIS

Setiap rumah berkenaan masing-masing menerima 100 Jalur Gemilang bagi tujuan menyemarakkan sambutan ulang tahun kemerdekaan negara yang disambut 31 Ogos ini.

Dalam ucapan ringkasnya pada majlis berkenaan juga, beliau menyarankan seluruh masyarakat terus menyemarakkan semangat patriotik terutamanya dalam bulan kemerdekaan ini.

Beliau berkata, semua masyarakat perlu menghayati erti kemerdekaan sebaiknya dan menzahirkan rasa syukur menikmati kemakmuran negara yang dikecapi hari ini.

“Kemerdekaan adalah satu kejayaan yang telah dicapai oleh negara kita sepanjang 66 tahun serta semangat cintakan negara ini hendaklah disemarakkan,” jelasnya lagi.

Program yang diketuai Setiausahanya Dr Ahmad Shahir Makhtar membawa 50 peserta membabitkan jabatan, agensi dan anak syarikat bawah MAIS selain media, rakan blogger dan pertubuhan Islam bukan kerajaan.

mais
Jalur Gemilang pada pelekat kereta.

Serahan Jalur Gemilang Di 3 Lokasi Berbeza

Lokasi pertama serahan bendera adalah di Pusat Dialisis MAIS, Seksyen 3 dengan penyerahan bendera serta cenderahati kepada pesakit yang sedang menjalani rawatan dialisis di sini. Sambil bertanya khabar, delegasi turut beramah mesra melihat fasiliti yang disediakan di Pusat Dialisis ini.

Konvoi kemudiannya bergerak ke Rumah Puteri Arafiah, Seksyen 7, di mana ketibaan disambut meriah penghuni Rumah Puteri Arafiah ini. Pihak rombongan juga turut melawat kawasan menempatkan penghuni wanita yang turut diberi kemahiran serta latihan seperti kelas jahitan, kraftangan dan sebagainya.

mais
Ziarah pertama di Pusat Dialisis.

Dan lokasi terakhir penyerahan jalur gemilang pula adalah di Pusat Perlindungan Mualaf Baitul Salam, Jalan Kebun. Pusat ini menempatkan 64 penghuni mualaf yang turut diberikan bimbingan kelas agama & fardhu Ain serta latihan kemahiran.  

Kawasan ini juga diwartakan sebagai kawasan larangan dan pergerakan keluar masuk turut dikawal selia. Rata-rata penghuninya diberi peluang tinggal di sini sehingga setahun sebelum keluar meneruskan kehidupan di luar.

mais
Semangat patriotik.

Baca Juga: MAIS Lancar Kalkulator Fidyah Puasa Platform Mudah Kiraan Ganti Puasa

Semarak Semangat Patriotik

Majlis yang diadakan setiap tahun ini ini bertujuan menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat terutama kepada warga kerja MAIS, JHEIS, agensi dan anak syarikat MAIS dalam memahami erti kemerdekaan negara.

Edaran Jalur Gemilang ini juga dibuat supaya warga kerja MAIS, JHEIS, agensi dan anak syarikat MAIS dapat bersama-sama meraikan sambutan Hari Kebangsaan dalam mengenang
perjuangan pemimpin terdahulu sehingga mencapai kemerdekaan. 

mais
Lokasi kedua di Ruman Tengku Arafiah.
mais
Turut sempurnakan penyerahan Jalur Gemilang di Pusat Perlindungan Mualaf Baitul Salam

Latar Belakang MAIS

MAIS merupakan satu entiti pertubuhan perbadanan (a body corporate) menurut Seksyen 5(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

Pada 1 Mac 2005, Pentadbiran Bahagian Pengurusan Baitulmal (BPB) telah dipindahkan dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke MAIS dan telah disahkan oleh Mesyuarat MAIS pada 14 April 2005.

Pengasingan ini adalah menepati kehendak peruntukan Seksyen 81(3) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 yang menyatakan bahawa MAIS berkuasa untuk mentadbir dan berhak kepada semua wang dan harta Baitulmal.

Antara visinya adalah mendaulatkan syiar Islam dan misinya pula memperkasakan ummah selaras dengan hukum syarak.

Berpegang pada 5 teras iaitu

  • Pengukuhan Akidah Syariah dan Akhlak
  • Pembangunan Sistem Sosial Islam yang dinamik
  • Pemantapan Sumber Ekonomi Islam
  • Pemerkasaan Urus Tadbir dan Sistem Penyampaian
  • Pemerkasaan Dasar dan Perundangan Islam 

Jelas memperlihatkan mottonya mengharap keredhaan Allah. Serta etika kerja yang amanah, prihatin dan mesra. Turut menerapkan budaya kerja dengan ilmu yang tinggi serta komunikasi yang berkesan. Semoga MAIS akan terus berkhidmat dengan baik, jujur dan amanah demi kesejahteraan ummah seluruhnya.

Leave a Comment

error: Content is protected !!