Fadhilat Bulan Syaaban | Bulan Syaaban merupakan bulan ke lapan dalam kalender Hijrah sebelum masuknya Ramadan. Sebagai umat Islam kita digalakkan untuk memperbanyakkan ibadah puasa sunat seperti amalan Nabi SAW. Apa lagi amalan boleh dilakukan di bulan Syabaan ini.
Seperti bulan-bulan lain, Syabaan yang merupakan bulan antara Rejab dan Ramadan ini juga mempunyai keistimewaan tersendiri. Ini antara kelebihan bulan syaaban perlu kita tahu.
Artikel Lain: MAIS Lancar Kalkulator Fidyah Puasa Platform Mudah Kiraan Ganti Puasa
Fadhilat Bulan Syaaban
Seperti juga Rejab, yang berlaku peristiwa Israj Mikraj, dan Syaaban juga istimewa dengan malam Nifsu Syaaban.
Dan bulan Syaaban ini merupakan bulan untuk mengejar kebaikan sebagai persediaan menghadapi bulan Ramadan yang mulia. Seperti Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Keistimewaan butaan Saaban di atas semua bulan itu, seperti keutamaan aku di atas semua Nabi dan keutamaan bulan Ramadhan itu di atas semua bulan ibarat keutamaan Allah SWT di atas semua hambaNya”
Amalan Sunat Di Bulan Syaaban
Berpuasa Sunat
Dalam bulan Syaaban ini kita dituntut untuk melakukan beberapa amalan kebaikan antaranya berpuasa. Ini adalah bagi persediaan dalam menghadapi bulan Ramadhan yang bakal tiba tidak lama lagi. Amalan berpuasa ini akan menjadi sebahagian latihan berpuasa selain mengumpul pahala.
Ini bertepatan dengan sabda Rasul S.A.W bermaksud, Barangsiapa berpuasa sehari dalam bulan Syaaban, diharamkan Allah tubuhnya dari api neraka. Dia akan menjadi rakan taulan Nabi Allah Yusuf di dalam syurga. Diberi pahala oleh Allah seperti pahala Nabi Ayub dan Nabi Daud.
Jika dia berpuasa sebulan dalam bulan ini, dimudahkan Allah akan saat matinya, dan terlepas dari kegelapan alam kubur, bebas dari hura-hara munkar dan nankir, ditutup Allah akan aibnya, dan diwajibkan syurga ke atasnya.
Niat Puasa Sunat
Memperbanyakan Doa
Syaaban juga merupakan bulan di mana setiap doa orang-orang beriman akan dimakbulkan Allah.
Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Umar, Rasul S.A.W bersabda bermaksud, Dalam solat lima waktu yang doanya tidak ditolak ialah semasa malam Jumaat, pada malam 10 Muharram, pada malam pertengahan bulan Syaaban dan pada dua malam raya, iaitu malam hari raya Aidilfitri dan Aidiladha.
Malam Nifsu Syaaban
Pada malam nisfu Syaaban, kita juga digalakkan Untuk bertaubat dan memohon keampunan di atas segala keterlanjuran dilakukan dalam bulan ini.
Rasul S.A.W bersabda bermaksud, Apabila tiba malam nisfu Syaaban, telah datang malaikat Jibril lalu berkata, pada malam ini, pintu-pintu langit dan pintu-pintu rahmat dibuka. Maka dirikanlah solat dan pohonlah doa, sesungguhnya pada malam itu telah dibuka 300 pintu rahmat. Maka Allah mengampuni orang-orang yang tidak menyekutuiNya kecuali ahli sihir dan dukun, orang yang bermusuhan, peminum arak, pezina, orang yang memakan riba’, orang yang derhaka kepada ibubapanya, orang yang suka mengadu domba atau batu api, dan orang yang memutuskan persaudaraan. Sesungguhnya mereka itu tidak akan diampun sehinggalah mereka benar-benar bertaubat dan tidak akan mengulanginya.
Masuk Waktu Nifsu Syaaban
Berdasarkan kalendar hijrah tahun ini (1443H) 1 syaaban 1444H bersamaan 22 Februari 2023 manakala 15 Syaaban 1444H adalah bersamaan 8 Mac 2023.
Malam Nisfu Syaaban adalah pada tarikh 7 Mac 2023 (Hari Selasa Malam Rabu) masanya, sebaik sahaja masuk waktu Solat Maghrib. Malam Nisfu Syaaban adalah malam 15 Syaaban iaitu siangnya 14 haribulan Syaaban 1444 Hijrah.
AMALAN LAIN YANG BOLEH DILAKUKAN DI BULAN SYA’BAN
Sememangnya tiada amalan khusus yang telah ditetapkan berdasarkan mana-mana hadis Nabi Muhammad SAW. Walau bagaimanapun, kita boleh mengambil peluang ini bagi menghidupkan bulan yang memiliki kelebihannya tersendiri di samping sebagai persediaan menuju Ramadan yang dinanti seperti:
1. MENDIRIKAN SOLAT FARDU DI AWAL WAKTU DAN PERBANYAKKAN SOLAT SUNAT
Daripada Abdullah Ibnu Mas’ud bertanya kepada Rasulullah SAW:
أَىُّ الْعَمَلِ أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ قَالَ “الصَّلاَةُ عَلَى وَقْتِهَا”. قَالَ ثُمَّ أَىُّ قَالَ “ثُمَّ بِرُّ الْوَالِدَيْنِ”. قَالَ ثُمَّ أَىّ قَالَ “الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ”.
Maksudnya: “Apakah amalan yang paling dicintai di sisi Allah SWT? Nabi menjawab: “Solat pada waktunya.” Dia (perawi) bertanya lagi, “Kemudian apa?”, jawab Baginda: “Berbuat baik kepada kedua ibu bapa.” Dia bertanya lagi, “Kemudian apa?”, jawab Baginda: “Jihad pada jalan Allah SWT.”
(HR al-Bukhari, hadis sahih)
Imam al-Ghazali mengingatkan bahawa jika kita merasakan solat fardu yang dikerjakan adalah sempurna, maka itulah tanda ketidaksempurnaan dan juga menunjukkan syaitan telah berjaya perdayakan kita.
Justeru, digalakkan untuk perbanyakkan solat sunat seperti qabliah dan ba’diah, tahajud, solat sunat duha dan sebagainya. Mudah-mudahan, ia dapat tampung atau melengkapkan kekurangan yang ada ketika kita menunaikan solat fardu.
Abu Hurairah r.a. menyebutkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ أَوَّلَ مَا يُحَاسَبُ بِهِ الْعَبْدُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ عَمَلِهِ: صَلَاتُهُ، فَإِنْ صَلُحَتْ فَقَدْ أَفْلَحَ وَأَنْجَحَ، وَإِنْ فَسَدَتْ فَقَدْ خَابَ وَخَسِرَ، فَإِنْ انْتَقَصَ مِنْ فَرِيضَتِهِ شَيْءٌ، قَالَ الرَّبُّ – عَزَّ وَجَلَّ-: انْظُرُوا هَلْ لِعَبْدِي مِنْ تَطَوُّعٍ فَيُكَمَّلَ بِهَا مَا انْتَقَصَ مِنْ الْفَرِيضَةِ؟ ثُمَّ يَكُونُ سَائِرُ عَمَلِهِ عَلَى ذَلِكَ.
Maksudnya: “Sesungguhnya amal seseorang yang mula-mula sekali dihisab pada kiamat ialah solatnya; jika solatnya baik (diterima), maka beruntung dan berbahagialah dia. Jika solatnya rosak (tidak diterima), maka kecewa dan rugilah dia. Kiranya terkurang sesuatu daripada solat fardunya, Allah SWT berfirman: “Periksalah, adakah hambaku itu mempunyai solat sunat yang dapat menampung solat fardunya?” Demikianlah keadaan semua amalnya yang lain dihisab.”
(HR Tirmizi, hadis sahih)
2. PERBANYAKKAN BERISTIGHFAR KEPADA ALLAH SWT
Daripada Abu Hurairah r.a., beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:
وَاللَّهِ إِنِّي لَأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ فِي اليَوْمِ أَكْثَرَ مِنْ سَبْعِينَ مَرَّةً.
Maksudnya: “Demi Allah, sesungguhnya aku beristighfar kepada Allah dan memohon ampun kepada-Nya setiap hari lebih daripada 70 kali.”
(HR al-Bukhari, hadis sahih)
Antara lafaz istighfar yang boleh diamalkan ialah sayyidul istighfar iaitu penghulu kepada segala istighfar. Ia terkandung kalimah tauhid yang membesarkan Allah SWT dan mengakui diri kita sebagai seorang hamba yang lemah dan hina.
Daripada Syaddad bin Aus r.a., Nabi Muhammad SAW bersabda:
سَيِّدُ الِاسْتِغْفَارِ أَنْ تَقُولَ: اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي لاَ إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ، وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ، أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ، أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ، وَأَبُوءُ لَكَ بِذَنْبِي فَاغْفِرْ لِي، فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ.
Maksudnya: “Sayyid al-Istighfar hendaklah kamu mengucapkan: Ya Allah, Engkau adalah Rabbku, tidak ada Ilah (Tuhan) yang berhak disembah dengan benar melainkan Engkau. Engkau yang menciptakan aku dan aku adalah hamba-Mu. Aku di atas perjanjian-Mu dan janji-Mu sesuai dengan kemampuanku. Aku berlindung kepada-Mu dari keburukan perbuatanku, aku mengakui nikmat-Mu kepadaku dan aku mengakui dosaku kepada-Mu, maka ampunilah aku. Ini kerana, tiada yang dapat mengampuni dosa melainkan Engkau”.
(HR al-Bukhari, hadis sahih)
Nabi Muhammad SAW juga ada menyatakan kelebihan bagi sesiapa yang mengamalkan sayyidul istighfar tersebut. Baginda SAW bersabda:
وَمَنْ قَالَهَا مِنَ النَّهَارِ مُوقِنًا بِهَا، فَمَاتَ مِنْ يَوْمِهِ قَبْلَ أَنْ يُمْسِيَ، فَهُوَ مِنْ أَهْلِ الجَنَّةِ، وَمَنْ قَالَهَا مِنَ اللَّيْلِ وَهُوَ مُوقِنٌ بِهَا، فَمَاتَ قَبْلَ أَنْ يُصْبِحَ، فَهُوَ مِنْ أَهْلِ الجَنَّةِ.
Maksudnya: “Barang siapa yang mengucapkannya (sayyidul istighfar) di waktu siang hari serta yakin dengannya, lalu dia meninggal dunia pada hari itu sebelum waktu petang, maka dia termasuk dalam kalangan penghuni syurga. Dan barang siapa yang mengucapkannya di waktu malam dengan penuh keyakinan, lalu dia meninggal dunia sebelum masuk waktu pagi, maka dia termasuk dalam kalangan penghuni syurga”.
(HR al-Bukhari, hadis sahih)
3. PERBANYAKKAN BERSELAWAT KEPADA NABI MUHAMMAD SAW
Daripada Abdullah bin ‘Amr r.a., Nabi Muhammad SAW bersabda:
فَإِنَّهُ مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلَاةً صَلَّى الله عَلَيْهِ بِهَا عَشْرًا.
Maksudnya: “Sesungguhnya barang siapa yang berselawat ke atasku dengan satu selawat, maka Allah SWT akan berselawat ke atasnya dengan sepuluh selawat.”
(HR Muslim, hadis sahih)
Dalam sebuah hadis yang lain diriwayatkan bahawa, para sahabat pernah bertanya kepada Nabi Muhammad SAW tentang bagaimana cara berselawat kepada Baginda SAW. Kemudian Baginda SAW menjawab dengan mengatakan:
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ، اللَّهُمَّ بَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ.
Maksudnya: “Ya Allah, berilah selawat kepada Muhammad dan kepada keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah berselawat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia. Ya Allah, berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah memberkati Ibrahim dan keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.”
(HR Bukhari dan Muslim, hadis sahih)
4. PERBANYAKKAN MEMBACA DAN MENTADABBUR AL-QURAN
Daripada Abu Umamah al-Bahili r.a., Nabi Muhammad SAW bersabda:
اقْرَؤُوا القُرْآنَ فإنَّه يَأْتي يَومَ القِيامَةِ شَفِيعًا لأَصْحابِهِ.
Maksudnya: “Bacalah al-Quran kerana sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat kepada sahabat-sahabatnya (pembacanya).
(HR Muslim, hadis sahih)
Tadabbur bermaksud menghayati dan mengambil iktibar daripada al-Quran untuk diamalkan.
Firman Allah SWT:
كِتَٰبٌ أَنزَلْنَٰهُ إِلَيْكَ مُبَٰرَكٌ لِّيَدَّبَّرُوٓا۟ ءَايَٰتِهِۦ وَلِيَتَذَكَّرَ أُو۟لُوا۟ ٱلْأَلْبَٰبِ.
Maksudnya: “(Al-Quran ini) sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), kitab yang banyak faedah dan manfaatnya untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.”
(Surah Sod: 29)
5. PERBANYAKKAN BERDOA DAN BERMUNAJAT KEPADA ILAHI
Rasulullah SAW berpesan kepada Ibnu Abbas r.a.:
إذا سَأَلْتَ فَاسْأَلِ اللَّهَ وَإِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاللَّهِ وَاعْلَمْ أَنَّ الأُمَّةَ لَوِ اجْتَمَعَتْ عَلَى أَنْ يَنْفَعُوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَنْفَعُوكَ إِلاَّ بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ لَكَ وَلَوِ اجْتَمَعُوا عَلَى أَنْ يَضُرُّوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَضُرُّوكَ إِلاَّ بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ عَلَيْكَ.
Maksudnya: “Apabila kamu meminta, mintalah pada Allah, dan apabila kamu meminta pertolongan, mintalah dengan Allah. Ketahuilah, jika suatu kumpulan manusia berpakat untuk memberikan kebaikan kepadamu, mereka tidak akan mampu memberikan apa-apa melainkan apa yang ditulis oleh Allah SWT untukmu. Dan jika mereka berpakat untuk mengenakan keburukan kepadamu, mereka tidak akan mampu menimpakan apa-apa melainkan apa yang telah Allah tuliskan ke atasmu.”
(HR Tirmizi, hadis sahih)
Allah SWT juga menggalakkan kita agar sentiasa berdoa kepada-Nya sepertimana yang terdapat dalam surah Ghafir ayat 60:
وَقَالَ رَبُّكُمُ ٱدْعُونِىٓ أَسْتَجِبْ لَكُمْ ۚ إِنَّ ٱلَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِى سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ.
Maksudnya: “Dan Tuhanmu berfirman: “Berdoalah kamu kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah-Ku akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina dina.”
(Surah Ghafir: 60)
Subhanallah Alhamdulillah. Terdapat pelbagai lagi amal ibadah lain yang dianjurkan syarak untuk kita lakukan dalam kehidupan. Semoga Allah SWT menerima segala amalan kebaikan kita di dunia ini dan mengampuni seluruh dosa yang ada. InsyaAllah, Amin Ya Mujib. Sumber: Ustazah Asma Harun
Artikel Lain: Kelebihan Puasa Bulan Rejab & Kejar Syafaatnya