Ayam Masak Kicap Semur, Penangan Resepi Istimewa Arwah Mak!

Ayam Masak Kicap Semur, penangan resipi istimewa dari arwah mak. Walaupun orangnya dah tak ada, masakan mereka tetap akan diingati. Sis paling suka masakan ini atau dalam bahasa Jawa dipanggil semur. 

Semalam masih lagi dalam mood demam tak demam. Sakit kepala masih berterusan biarpun dah telan dua biji panadol plus ubat flu.

Ayam Masak Kicap Semur

Artikel Lain: Resepi Siakap 3 Rasa, Ini Rahsianya Sedap & Mudah

Huh! kuat betul penangan jerebu sampaikan sis rasa cukup tak bermaya. Apatah lagi tekak ni terasa memang tak sedap nak jamah makanan lain. Semuanya nak tak best.

Teringat daging yang diberi Eizan Ariffin. Daging korban raya haji hari itu. Sis terfikir nak masak kicap. Rindu pada masakan Ummi Wanie yang paling best masak ayam atau daging masak kicap. Tapi dia cuti bersalin ketika ini. Jadi sis gagahkan balik kerja dalam pukul 7 lebih untuk masak.

Sis tahu kalau masak kicap daging mesti budak-budak tak makan punya, kecuali ayam. So sis pun tukar menu Ayam Masak Kicap. Resipi dari arwah emak yang paling legend.

Resepi Mak Paling Legend

Ayam masak kicap semur
Bersama arwah mak, Puan Saniyah Sulaiman.

Kicapnya atau kami panggil masak Sumor. Senang je resipinya dan hidangan cepat untuk disediakan. Apabila dah siap huhu maunya memang best.

Budak-budak pun suka lebih-lebih lagi memang dah lama mamanya tak turun masak. Tetapi tekak sis masih tak boleh terima. Sis hanya sentuh seketul dua daging goreng. Selebihnya saya hanya pandang budak-budak makan.

Jom kongsi resepi Ayam Masak Kicap Semur:

Bahan-bahan:

  • Ayam – dipotong kecil & digoreng setengah masak
  • Sebiji labu bawang besar – dihiris
  • Dua ulas bawang putih – dihiris
  • Sedikit halia – dihiris
  • Tiga sekawan
  • 1 tangkai cili besar – dihiris
  • Kicap ikut jenama – nak sedap pakai kicap Mudim
  • Sedikit gula, garam & perisa
  • Sedikit air
  • Air asam jawa – jika perlu

Cara membuatnya:

  1. Panaskan minyak lebihan goreng ayam tadi. Masukkan bahan hirisan, tiga sekawan dan biarkan hingga naik bau.
  2. Masukkan kicap Mudim/Kicap Kipas Udang (dicadang) atau apa sahaja brand ikut cita rasa. Masukkan air sedikit.
  3. Masukkan sedikit air. Letakkan air asam jawa (jika suka).
  4. Tambahkan perisa secukup rasa. Biarkan mendidih dalam api sederhana sebelum diangkat.
Ayam masak kicap semur
Masakan legend makan dengan nasi panas.

Tak susah pun, resipi mudah dan jimat. Pakai saja apa bahan dalam peti sejuk, Confirm menjadi. Selamat mencuba. Tapi kalau korang nak resepi ayam masak kicap lain yang best pun ada. Jika korang buat carian di internet, resepi ayam masak kicap ini paling popular dan viral.

Antaranya resepi ayam masak kicap Sheila Rusly, resepi ayam masak kicap Azie Kitchen, Resepi ayam masak kitap Khairul Aming atau resepi ayam masak kicap kentang. Ada juga carian resepi ayam masak kicap simple, resepi ayam masak kicap kenduri (paling sedap), resepi ayam masak kicap 3 budak gemuk dan juga resepi ayam masak kicap pedas.

Dalam banyak-banyak resepi ini sis paling suka resepi ayam masak kicap 3 budak gemuk. Ini kalau dapat makan dengan nasi panas memang orang sebelah lalu pun tak hairan.

Resepinya agak viral terutama masa PKP lalu dan ramai mencuba dan menjadi. So apa kata sis share resepi ayam masak kicap 3 budak gemuk yang viral ini dari resepi ayam masak kicap sambal gesek 3 budak gemuk dari Che Nom.

Bahan-bahan:

  • Bahan-bahan untuk sambal gesek:
    • 1 biji bawang besar
    • 3-4 biji bawang merah kecil
    • 4 ulas bawang putih
    • 25-30 biji cili padi
    • limau nipis
    • 1 cawan minyak masak
    • garam dan gula secukup rasa
    • serbuk perasa,jika suka
  • Bahan-bahan untuk ayam kicap:
    • ½ ekor /600g ayam
    • sedikit garam
    • serbuk kunyit
    • 1 tangkai daun kari
    • 3 biji bawang merah kecil
    • 2 ulas bawang putih
    • ½ inci halia
    • 3 biji cili padi
    • ½ biji bawang besar
    • anggaran ¼ cawan kicap pekat manis
    • 2 sudu besar air asam jawa
    • 2 sudu besar sos tiram
    • ½ sudu besar gula melaka

Cara Penyediaan:

  1. Cara-cara untuk sambal gesek:
    1. Potong kasar bawang merah, bawang merah kecil, bawang putih, dan cili padi.
    2. Panaskan minyak dan goreng bahan potongan sehingga lembut lalu mengangkatnya.
    3. Kisar atau tumbuk kasar bahan yang telah digoreng bersama garam, gula secukup rasa dan sedikit serbuk perasa (pilihan).
    4. Perah jus limau nipis kedalam sambal untuk menjadikan ia lebih sedap dan gaul kesemua bahan.
  2. Cara-cara untuk ayam masak kicap:
    1. Letakkan sedikit garam dan serbuk kunyit didalam ayam. Gaul sehingga rata dan perap ayam untuk seketika.
    2. Tumbuk kasar bawang merah kecil, bawang putih, halia dan cili padi.
    3. Goreng ayam sehingga ayam masak tetapi tidak terlalu garing dan kemudian, angkat ayam.
    4. Tumis bahan tumbuk kasar lalu masukkan daun kari. Tumis bahan-bahan tersebut sehingga kekuningan dan naik bau.
    5. Masukkan kicap pekat manis, air asam jawa, sos tiram, dan gula melaka.
    6. Masukkan ayam goreng kedalam kuah kicap dan tambah sedikit air jika kuah terlalu kering.
    7. Masukkan hirisan bawang besar dan renehkan ayam sehingga masak sebati bersama kuah masak kicap,
    8. Kemudian, ayam masak kicap ala 3 budak gemok siap untuk dihidang bersama sambal gesek..

Tip:

  • Boleh tambah minyak gorengan pada sambal gesek untuk lebih sedap
  • Untuk ayam masak kicap, minyak janganlah terlalu sedikit nanti masakan menjadi kurang sedap,
  • Masakan bagi ayam masak kicap ala 3 budak gemok memang kering dan kuahnya bersalut pada ayam.

Artikel Lain: Ayam Goreng Szechuan Sedap & Mantap

1 thought on “Ayam Masak Kicap Semur, Penangan Resepi Istimewa Arwah Mak!”

Leave a Comment

error: Content is protected !!